SEREMBAN: Tindakan pantas jabatan berkaitan mengesan punca aliran cecair berwarna hitam dipercayai minyak enjin terus memasuki Sungai Linggi semalam, berjaya mengelakkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Linggi daripada terjejas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata berdasarkan pemerhatian setakat 8 pagi tadi, LRA Linggi yang membekalkan sumber air kepada 47,000 akaun pengguna masih beroperasi pada kapasiti 100 peratus.

"Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) menerima aduan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan berkaitan pencemaran Sungai Linggi yang dikesan berpunca daripada longkang awam di kawasan Kampung Bemban Hilir di sini pada 1.48 tengah hari semalam.

"Berikutan itu, JAS Negeri Sembilan bersama BKSANS bersama agensi lain termasuk Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) segera menggerakkan pasukan untuk membuat pengesanan lanjut," katanya kepada pemberita selepas meninjau LRA Linggi di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, proses persampelan air telah dilakukan agensi berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan perundangan di bawah kesalahan pencemaran sumber air.

Aminuddin berkata kerajaan negeri amat komited membanteras kes berkaitan pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil kepada pelaku yang tidak bertanggungjawab sehingga memberi implikasi terhadap pembekalan air terawat untuk rakyat.

Beliau turut menasihati orang awam supaya menjadi 'mata dan telinga' kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian seumpama itu.

Orang ramai juga, katanya perlu lebih peka dan prihatin terhadap alam sekitar dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai sehingga menjejaskan habitat dan persekitaran.

-- BERNAMA