NATIONAL
Tindakan PM Timor-Leste beri coklat, gula-gula ceriakan media di Sidang Kemuncak ASEAN-GCC

Gusmao (foto) mengejutkan petugas media dengan menghulurkan coklat dan gula-gula selepas Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di KLCC, sebagai tanda penghargaan atas kesabaran mereka. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Selepas membuat liputan penuh Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini kira-kira selama dua jam pada pagi Isnin, petugas media menerima kejutan yang tidak disangka - bukan daripada urus setia atau penganjur, tetapi daripada Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao sendiri.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, mengejutkan petugas media dengan menghulurkan coklat dan gula-gula selepas Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di KLCC, sebagai tanda penghargaan atas kesabaran mereka.
- Tindakan spontan dan mesra itu mencetuskan kegembiraan dalam kalangan wartawan, yang menganggapnya sebagai satu bentuk penghargaan yang jarang berlaku dalam suasana rasmi.
- Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dianjurkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, bertujuan memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Ketika itulah Gusmao melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
Dengan senyuman mesra, beliau menghampiri kumpulan media yang berada di dalam kawasan yang dikhaskan untuk mereka dan menghulurkan coklat dan gula-gula sambil berkata ringkas, "Ambillah, kamu semua dah tunggu lama."
Tindakan penuh keprihatinan itu serta-merta mencetuskan senyuman tanda penghargaan dalam kalangan petugas media yang keletihan, rata-ratanya tidak menjangka sebarang interaksi sebegitu dalam suasana rasmi.
Menurut Iylia Marsya Iskandar, wartawan berusia 26 tahun dari The New Straits Times, tindakan kecil seperti itu memberi makna yang besar.
"Ia bukan tentang gula-gula itu sahaja, tapi tentang penghargaan. Jarang kita lihat interaksi seperti ini di acara sebegini," katanya kepada Bernama.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC itu dianjurkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala dan hubungan antara ASEAN dan negara-negara Teluk.
Ditubuhkan pada 1981 dan beribu pejabat di Riyadh, GCC dianggotai enam negara iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
-- BERNAMA
Dapatkan berita ASEAN 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami