DAP menyifatkan tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang tidak mengiktiraf jawatankuasa pusat parti itu dua hari sebelum penamaan calon telah mengukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat dalam menyertai pilihan raya umum ke-13 ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang optimis masalah yang dihadapi oleh DAP itu tidak akan melemahkan perjuangan parti itu dan semangat calon-calonnya bertanding.

“Masalah yang ditimbulkan ini tidak akan jadi penghalang kepada usaha DAP serta Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan kedudukan di Johor.

"Masalah ini sebaliknya akan menguatkan lagi kerjasama antara DAP, PAS dan PKR," katanya pada majlis penyerahan watikan calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) DAP Johor, di Skudai, Johor hari ini.

Dalam satu kenyataan media berasingan, Kit Siang berkata, beliau tidak pasti apakah kerjasama itu akan jadi bencana kepada DAP di seluruh negara atau ia akan jadi pencetus kepada perubahan politik negara.

"Hanya apabila undi dikira pada 5 Mei nanti kita akan tahu apa keputusannya," katanya.

Menurut Kit Siang, DAP akan mengemukakan dua surat watikah pada penamaan calon esok iaitu surat daripada Pas bagi calon-calonnya di Semenanjung dan surat daripada PKR bagi calon-calonnya di Sabah dan Sarawak.



Katanya, ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang bantahan berhubung status DAP dan calonnya semasa penamaan calon.

RoS dalam kenyataannya sebelum ini mengesahkan DAP bukan dibatalkan sebaliknya cuma disiasat dan ia masih boleh menggunakan logonya sendiri dalam PRU-13. Suruhanjaya Pilihan Raya juga mengumumkan hal yang sama.

Sementara itu, Pas melihat keputusan DAP tidak menggunakan logonya sendiri serta kesediaan Pas dan PKR membenarkan DAP menggunakan logo mereka pada pilihan raya umum ini adalah bukti bahawa Pakatan Rakyat bukan satu pakatan yang longgar.

Timbalan Presiden Pas, Mohamed Sabu berkata, perkembangan 48 jam ini menepis dakwaan pelbagai pihak selama ini kononnya Pakatan Rakyat tidak boleh bekerjasama.

"Selama ini orang tuduh macam-macam kononnya pakatan ini sementara tetapi apabila DAP yang keras itu pun sedia menggunakan logo Pas maknanya kita serius bekerjasama," katanya kepada Astro Awani.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perkembangan ini ada hikmahnya yang tersendiri kerana ia membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara Pas dan DAP.

"Sebelum ini kita banyak berbeza pendapat tetapi perlahan-lahan kita sudah boleh bekerjasama kemudian duduk semeja dan sekarang kita berkongsi logo dalam pilihan raya," katanya.

Mustafa juga mengesahkan beliau sudah menandatangani surat kebenaran untuk calon-calon DAP di Semenanjung menggunakan lambang Pas dalam PRU-13 ini.

DAP membuat keputusan itu setelah tidak mendapat respons daripada RoS untuk menarik balik surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusatnya susulan siasatan berhubung pemilihan mereka yang dipertikaikan oleh segelintir ahli parti itu. -- Harris Hardy Hakim dan Irwan Muhammad Zain