Sebanyak 60 kes dengan jumlah rampasan bernilai RM10,071 telah diambil tindakan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersempena Ops Harga 2013 yang bermula dari 6 hingga 11 Julai yang lalu.

Tindakan yang diambil itu melibatkan 26,854 pemeriksaan yang telah dilakukan ke atas semua peringkat perniagaan yang melibatkan keseluruhan kompaun sebanyak RM7,150.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata tindakan ini dilakukan bagi membendung dan memantau perkembangan berkenaan dengan barangan-barangan keperluan pengguna agar tidak dinaikkan oleh peniaga sewenang-wenangnya.

“Kita telah menubuhkan satu jawatan kuasa dan bilik operasi khusus untuk memantau perkembangan ini dan kita senantiasa memantau keadaan-keadaan itu,” kata Hasan kepada pemberita selepas merasmikan program penyeragaman harga di Pulau Perhentian petang tadi.

Menurutnya lagi, kes-kes yang dikenalpasti ini melibatkan kesalahan-kesalahan seperti tidak meletakkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual dan menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Peniaga-peniaga diharapkan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya demi untuk mendapatkan keuntungan berlebih-lebihan kerana ini melibatkan pihak pengguna,” kata beliau.

Pihak Kementerian juga sedang memantau dan mencari jalan kepastian dimana punca sebenar kenaikan harga bermula.

“Adakah ia bermula dari pembekal, pemborong atau dari peniaga itu. Oleh itu, kita tidak boleh mengambil tindakan secara melulu kerana kita harus mempunyai segala maklumat yang ada dan barulah tindakan seperti denda kompaun atau penalti akan dikenakan sehingga RM100,000 dan RM500,000,” kata Hasan.

Beliau menambah, seminggu sebelum hari Raya Puasa, pihak Kementerian akan mengumumkan harga-harga siling barang kawalan seperti tepung, gula kasar, minyak masak.

“Daging ayam masih belum lagi diletakkan sebagai barang kawalan namun seminggu sebelum dan sesudah Hari Raya Puasa, kita akan jadikannya sebagai barang kawalan dan ianya memudahkan kita untuk mengambil tindakan kepada mereka yang sesuka hati menaikkan harga barang kawalan,” tegasnya lagi

Mengulas mengenai penyeragaman harga barang kawalan di Pulau Perhentian ini, menurutnya ianya dilakukan demi untuk memberi kemudahan kepada penduduk di pulau ini untuk membeli barangan kawalan seperti tepung, gula kasar, minyak masak dan bahan bakar seperti minyak petrol dan diesel.

“Di sini (Pulau Perhentian), kerajaan telah melaksanakan program penyeragaman harga barang keperluan (gula, minyak masak, tepung gandum dan beras) dan ini juga termasuk penyeragaman harga gas memasak LPG dan harga petrol,” Hasan berkata.

Pembekal (transporter) yang dilantik bertanggungjawab membawa bekalan ke pulau ini dan dibekalkan kepada peniaga (pos) dan peniaga pula mesti menjual barangan ini pada harga kawalan .

“Jika didapati peniaga menjual dengan harga yang lebih mahal, pengguna digesa melaporkan kepada pembekal dan juga penguatkuasa kementerian yang bertanggungjawab,” katanya lagi.

Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan Kampung Pulau Perhentian, Zainuddin Mohd menyambut baik langkah yang diusahakan oleh pihak kerajaan namun dalam masa yang sama mahukan penguatkuasaan dari pihak kementerian lebih jitu dalam mengawal kenaikan tidak sah harga barang kawalan oleh peniaga.

“Dengan adanya program seperti ini diharapkan ianya dapat meringankan beban kami terutama dalam penggunaan diesel dan petrol bot-bot dan feri yang terdapat disini. Jika dahulu, tanpa ada subsidi yang diberikan ini, kita terpaksa mengupah seseorang untuk membeli petrol dan diesel dan harga yang dijual juga agak mahal kerana alasan yang diberikan melibatkan kos perjalanan,” kata Zainuddin.