Tindakan tegas ke atas pihak cuba jatuhkan ekonomi dan reputasi negara - Zahid
Astro Awani
Julai 5, 2015 05:51 MYT
Julai 5, 2015 05:51 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan undang-undang sepenuhnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menjejaskan ekonomi dan menjatuhkan reputasi negara.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, kementerian itu berkata beberapa laporan media didapati memetik dokumen yang tidak sah.
Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebuah firma bebas berkaitan keselamatan siber, Protection Group International (PGI) telah mengesahkan berlaku kecurian maklumat.
“PGI telah mengesahkan berlaku kecurian maklumat berkenaan dan sebarang maklumat yang diterbitkan dianggap sebagai tidak selamat dan tidak boleh dipercayai.
“Dakwaan dan sindiran yang dibuat ke atas Perdana Menteri Malaysia yang dibuat dilihat sebagai suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan etika kewartawanan somberono yang boleh dianggap satu kesalahan jenayah.
“KDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk menggunakan tindakan undang-undang sepenuhnya terhadap mereka yang menjejaskan ekonomi dan proses demokrasi negara,” kata Zahid dalam kenyataan itu.
BACA: Kes Xavier Justo: Kenapa pengkritik Najib perlu minta maaf? - Dr Mahathir
Kata Zahid lagi, semua pihak sama ada tempatan atau antarabangsa dinasihatkan agar tidak membuat apa-apa komen di atas perkara-perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam.