Kementerian Dalam Negeri bakal bekerjasama dengan polis Thailand bagi membantu siasatan kes penahanan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd Xavier Justo yang kini ditahan di negara itu, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan menyiasat rekod emel dan panggilan telefon mereka yang terlibat dalam kes penipuan, pemalsuan dan peras ugut syarikat berkenaan.

Tambahnya, KDN telah dimaklumkan bahawa Xavier Justo merupakan individu yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat yang tidak tepat kepada laman web, Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB.

Jelas beliau, set data yang dicuri itu tidak lengkap dan melalui proses penyuntingan profesional selepas dikeluarkan dari sistem PetroSaudi dengan niat jahat untuk menyerang dan merosakkan imej organisasi serta individu tertentu.


Beberapa akhbar pada Rabu melaporkan Justo ditahan polis Thailand atas tuduhan memeras ugut PetroSaudi, seperti yang dilaporkan media Thailand dan syarikat itu.

"Jika Thailand mahu ekstradisi dilakukan bagi membantu siasatan terhadap rakyat Malaysia, KDN tidak akan lepas tanggungjawab ini dan jika benar, ekstradisi yang akan diminta (pihak Thailand) bagi menjalankan siasatan yang mungkin menggunakan bahan daripada bekas eksekutif berkenaan," ujarnya dalam sidang media, selepas majlis pelancaran 'Penerapan Nilai-Nilai Murni' di Putrajaya, Rabu.

Tambahnya, KDN difahamkan berdasarkan siasatan forensik, sebahagian daripada emel dan dokumen yang disiarkan di laman web tersebut sudah ditokok tambah selepas dicuri dari pengkalan data Petrosaudi.

Bagaimanapun, siasatan ke atas sebuah majalah ekonomi tempatan akan dilakukan di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan.

"Berita ini atau fakta telah jelas daripada kajian diperoleh bahawa ada niat buruk oleh pihak berkenaan dan ia telah dianalisis oleh akhbar mingguan perniagaan di Malaysia dan portal berita atas talian tadi," kata Ahmad Zahid.