AMERIKA SYARIKAT (AS) mengumumkan telah menggerakkan kapal pengangkut perang USS Nimitz kembali ke Timur Tengah pada Jumaat.

Tindakan berkenaan dilihat sebagai langkah luar biasa yang diambil oleh negara itu ketika isu pembunuhan membabitkan seorang saintis Iran di bandar Absard di wilayah Damavand Timur di Tehran pada Jumaat.

Bagaimanapun Pentagon mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan itu dibuat selepas penarikan pasukan AS di Afghanistan dan Iraq.

Menurut Pentagon, ia juga sebagai kekuatan tambahan dan persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan.

Menteri Luar Iran sebelum ini menuduh pembunuhan Mohsen Fakhrizadeh adalah angkara perbuatan Zionis Israel.

Ia sekali gus berisiko meningkatkan ketegangan di Timur Tengah selepas hampir setahun Iran dan AS berada di ambang perang ketika serangan dron Amerika membunuh seorang jeneral Iran terkemuka di Baghdad.