Minat Mohamad Hafidz Arifin, 32, dalam bidang pertanian yang tercetus setelah dia merasai sendiri keenakan buah tin secara segar semasa bertugas di sebuah syarikat minyak dan gas di Iraq empat tahun lalu, membuatkan beliau sanggup meninggalkan jawatan yang stabil dengan gaji yang tetap semata-mata untuk mengusahakan tanaman itu.

Biarpun ketika itu pendapatan sudah lebih RM15,000 sebulan, namun ia tidak menghalang beliau untuk meletakkan jawatan sebaik sahaja pulang ke tanah air pada awal tahun lalu, dan mula menanam tanaman buah itu di kampung halamannya di Janda Baik kerana menyedari potensi pasarannya.

"Buah tin atau nama saintifiknya Ficus Carica ini biasanya ditanam di Asia Barat dan tidak ramai yang berani mencuba untuk menanamnya dalam negara sedangkan ia mempunyai permintaan yang sangat tinggi, sama ada untuk dipasarkan secara segar di hotel-hotel mahupun dijadikan sebagai antara bahan di dalam jus kesihatan.

"Lantaran itulah saya memberanikan diri meletakkan jawatan untuk menceburi bidang ini, walaupun ketika itu gaji sudah cukup lumayan," katanya yang mempunyai kelulusan dalam bidang pengurusan sumber manusia dari Universiti Putra Malaysia.

Siapa sangka tanaman yang berasal dari benua Asia Barat berjaya disuburkan di negara ini. - Bernama

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis selepas Majlis Pelancaran Musim Menuai Buah Tin di Benefigs, Janda Baik di sini hari ini yang disempurnakan oleh Anggota Dewan Undangan Ketari Young Syefura Othman.

Menurutnya berbekalkan modal RM200,000, latihan serta ilmu yang dipelajari daripada kenalannya dan sedikit ilmu yang diperoleh daripada internet, beliau membina rumah hijau untuk menanam buah tin.

Sebagai permulaan katanya, 400 pokok buah tin ditanam di kawasan seluas 929 meter persegi (10,000 kaki persegi) dan usahanya itu tidak sia-sia kerana ia kini sudah mula membuahkan hasil.

"Untuk harga ladang, buah ini mampu dipasarkan dengan harga RM60 sekilogram, namun untuk pasaran runcit harganya mencecah sehingga RM80 sekilogram. Menariknya pokok ini tidak memerlukan kawasan yang luas dan masa yang lama untuk memperoleh hasil yang lumayan kerana ia sudah mula membuahkan hasil pada bulan keempat hingga keenam penanamannya.

"Untuk setiap pokok dijangkakan mampu mengeluarkan sehingga 40 kilogram hasil setiap kali tuaian dan dalam masa setahun ia mampu berbuah dua kali," tambahnya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman (kiri) bersama Pengarah Pelancongan Pahang Datuk Idros Yahya (dua, kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Benefigs Mohamad Hafidz Arifin (kanan) ketika hadir pada Pelancaran Musim Menuai Buah Tin Benefigs, di Kampung Janda Baik hari ini. - Bernama

Mengulas mengenai pasarannya, Mohamad Hafidz berkata setakat ini beliau memang tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan baik daripada pengusaha hotel mahupun pengusaha produk jus kesihatan.

Rasanya yang lemak manis, dan berair menyebabkan, buah ini amat diminati selain disebabkan khasiatnya yang mengandungi zat anti oksidan, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, kalsium, zat besi, fosforus, mangan, sodium, potassium dan klorin serta fiber serta boleh membantu mengatasi masalah usus dan kolestrol.

"Bukan sahaja buahnya mempunyai nilai komersil, malah daun pokok tin ini juga boleh digunakan untuk membuat teh yang dipercayai dapat kawal kandungan gula sakit kencing manis, manakala batang pokoknya boleh dijual sebagai benih dengan harga RM5 sejengkal, sementara anak pokok sahaja dijual dengan RM45.

Beliau menjangka mampu memperoleh pulangan modal dalam tempoh tidak sampai dua tahun dan merancang untuk memperluaskan lagi tanaman ini dengan kerjasama individu-individu yang berminat untuk memenuhi pasaran terhadap buah itu.

-- BERNAMA