KUCHING: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap serangan ke atas kedai serbaneka 24 jam di beberapa kawasan di Sarawak.
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata siasatan secara kolektif merentas daerah perlu dilakukan bagi menentukan jika ia berkaitan serta mengenal pasti bukan sahaja mereka yang terlibat tetapi juga mana-mana pihak yang mungkin merancang atau mengarahkan serangan itu.
“Sangat membimbangkan apabila beberapa insiden itu berlaku ketika masih ada individu di dalam premis. Sikap sengaja membaling objek berbahaya ke dalam kedai walaupun mengetahui ada orang di dalamnya jelas membelakangkan undang-undang dan membahayakan nyawa.
“Tingkah laku ala samseng seperti ini yang menggunakan gertakan, pembakaran secara sengaja, keganasan dan tindakan yang membahayakan nyawa bagi mencapai sesuatu tujuan tidak boleh dibiarkan bertapak di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 21 Sept, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia Datuk Mohamad Zainal Abdullah yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak berkata polis sedang memburu suspek serangan ke atas kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman pada 20 Sept yang menyaksikan objek dipercayai mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar dibaling ke dalam premis itu.
Polis menerima dua laporan berhubung insiden berkenaan yang mempunyai modus operandi serupa.
Mohamad Zainal berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA