SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyeru komuniti Cina di sini agar memperkukuh perpaduan serta bekerjasama dalam mempromosikan potensi pelancongan setempat bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Tiong, yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong, berkata kerjasama erat antara komuniti, perniagaan, kerajaan serta pengunjung adalah penting dalam usaha membangunkan Sibu sebagai sebuah bandar yang meriah dan menarik.
Advertisement
“Melalui kerjasama yang kukuh dalam kalangan semua pihak, kita mampu merangsang ekonomi tempatan dan memastikan manfaat pelancongan dinikmati oleh komuniti setempat,” katanya ketika merasmikan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Cina Bersatu (UCA) Bahagian Sibu di sini malam tadi.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada UCA bagi membantu usaha persatuan berkenaan memperkukuh perpaduan dan melaksanakan program pembangunan sepanjang tahun.
Tiong berkata organisasi komuniti Cina memainkan peranan penting dalam usaha memupuk perpaduan, memajukan pendidikan Cina, memelihara warisan budaya, membimbing bakat muda dan memperkukuh inisiatif kebajikan.
Beliau berkata dalam era kemajuan teknologi yang pesat, persatuan terbabit harus mengoptimumkan sumber sedia ada, mengumpulkan kepakaran kolektif dan meningkatkan kerjasama termasuk melalui penyertaan aktif sayap belia serta wanita bagi memastikan kesinambungan kepimpinan untuk generasi masa depan.
Tiong juga berkata usaha mengekalkan keharmonian sosial dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan mengelakkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan adalah penting.
“Hanya melalui perpaduan dan kerjasama antara semua komuniti kita mampu memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar berperanan sebagai duta pelancongan dengan memperkenalkan keunikan serta daya tarikan Sarawak, khususnya di Sibu, dan pada masa sama, memberikan layanan yang mesra serta profesional kepada pengunjung.
Katanya pendekatan yang mesra, bertanggungjawab dan boleh dipercayai dalam setiap interaksi akan membantu meningkatkan imej serta kedudukan Sibu sebagai destinasi pilihan pelancong.
-- BERNAMA