NATIONAL
Tips agar tidak abaikan bayaran bil dan komitmen bulanan waktu raya

Lebih membimbangkan, budaya "belanja dahulu, fikir kemudian" semakin menjadi norma. - Gambar hiasan Bernama
KUALA LUMPUR: Setiap kali menjelang Syawal, ramai yang teruja menyambut hari kemenangan dengan penuh kemeriahan.
Namun, pempengaruh kewangan dan penulis buku kewangan, Azraei Muhamad berkata, di sebalik kegembiraan ini, ada satu realiti yang sering berulang dengan bayaran bil dan komitmen bulanan menjadi mangsa penangguhan.
Ketika menikmati suasana raya, ramai yang tidak mahu memikirkan hal-hal kewangan yang membebankan.
Mereka memilih untuk menangguhkan bayaran bil elektrik, air takaful, ansuran kereta, malah bayaran rumah.
Katanya, ini akan mengakibatkan beban kewangan menjadi berganda selepas raya kerana bukan sahaja hutang perayaan perlu diselesaikan tetapi bil juga tertunggak.
"Orang lebih fokus untuk menikmati suasan raya berbanding menguruskan kewangan mereka dengan bijak", kata beliau.
"Mereka fikir, nanti boleh bayar. hakikatnya, bila tangguh, hutang semkin bertimbun dan menjejaskan kestabilan kewangan jangka panjang.
Kata Azraei, lebih membimbangkan, budaya "belanja dahulu, fikir kemudian" semakin menjadi norma.
Contohnya, ramai yang tidak teragak-agak untuk membayar harga mahal bagi buffet Ramadan demi pengalaman berbuka puasa yang mewah bersama rakan-rakan.
Namun, apabila tiba masa untuk melangsaikan bil dan komitmen bulanan, mereka mula panik kerana duit sudah pun digunakan untuk perbelanjaan lain.
"Kita sering menyalahkan perbelanjaan raya sebagai punca masalah kewangan, tetapi hakikatnya kegagalan kita dalam menguruskan wang harianlah yang menyebabkan kesukaran selepas raya", tambahnya.
Kesan daripada budaya ini bukan hanya dirasai sebulan selepas Syawal, tetapi boleh berlarutan sehingga beberapa bulan berikutnya.
Akhirnya, ramai yang terpaksa berhutang untuk menampung keperluan asas mereka, seterusnya mewujudkan satu kitaran kewangan yang tidak sihat.
Justeru, adalah penting untuk mengamalkan perancangan kewangan yang lebih berhemah.
Mencatat perbelanjaan, mengenalpasti keperluan dan kehendak, serta mengutamakan komitmen tetap boleh membantu mengelakkan masalah kewangan selepas raya.
Raya sepatutnya menjadi detik kegembiraan, bukan punca kesengsaraan kewangan di kemudian hari.
Beliau berkata demikian dalam program Pantau Belanjawan yang bersiaran hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami