AYER KEROH: Seramai 16 individu termasuk seorang wanita dan tiga warga China didenda RM3,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud di United Kingdom (UK).

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah.

Kesemua tertuduh adalah Ooi Shou Lian, 27, Foo Nian Cher, 37, Chong Teck Ann, 28, Ooi Soon Hong, 27, Ngin Wooi Ching, 27, Yong Jian Wei, 25, Chan Kian Heng, 25, Tan, Sheng Hooi, 27, Lee Wai Kong, 24, Chong Kok Wei, 21, Ahmad Asyraf Othman, 22, Liw Yit Loong, 27 dan Lee Wai Si, 22.

Selain itu, tiga warga China adalah Xiao Kunmang, 24, Zhou Qi, 22 dan Yu Quan, 32.

Mengikut pertuduhan, semua mereka bersama-sama sebagai pihak pakatan jenayah telah melakukan kesalahan memperdaya mangsa-mangsa di UK dalam tawaran pekerjaan atas talian yang tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan di No 2, Jalan Vista Kirana 3, Taman Vista Kirana, Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah di sini, pada kira-kira 3.30 petang 21 November lalu.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam pada rayuan mereka memohon hukuman ringan memandangkan mereka baru bekerja dan ada yang belum sempat menerima sebarang bayaran.

Selain itu, salah seorang daripada mereka juga mengakui memerlukan wang untuk menjalani rawatan kanser yang sedang dihadapi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap semua tertuduh.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 setiap seorang atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.