[TERKINI] Titah Adendum: Najib Razak kekal di Penjara Kajang
![[TERKINI] Titah Adendum: Najib Razak kekal di Penjara Kajang [TERKINI] Titah Adendum: Najib Razak kekal di Penjara Kajang](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/51751952845_NajibTunRazak.jpg)
Hakim, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Najib, yang kini menjalani baki hukuman penjara enam tahun, susulan sabitan kes SRC International Sdn Bhd melalui tahanan di rumah. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum terhadapnya untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching mendapati Titah Adendum berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
"Untuk ditegaskan sekali lagi, Yang di-Pertuan Agong ialah seorang Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasa serta fungsinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan tidak terkecuali daripada prinsip ini.
"Ia mesti dilaksanakan dalam rangka perundangan yang menyediakan perlindungan dan had-had sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan. Perintah Adendum tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61.
"Tiada pematuhan terhadap Perkara 42. Oleh itu, perintah tersebut bukan suatu perintah yang sah. Para responden tidak mempunyai kuasa dan tidak mempunyai kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya.
"Sebaliknya, pemohon juga tidak mempunyai hak untuk mendapatkan perintah mandamus. Dalam keadaan ini, permohonan semakan kehakiman dalam itu ditolak," jelas beliau ketika membacakan keputusan.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujudnya satu perintah tambahan diraja (Titah Adendum) yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam permohonan tersebut, Najib menamakan tujuh responden; Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Menerusi notis itu, Najib memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan serta memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.
Dalam permohonan itu juga, Najib memohon sekiranya perintah tambahan tersebut disahkan wujud maka responden berkaitan melaksanakan titah diraja berkenaan dan memindahkannya dengan segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib atas alasan afidavit sokongan yang dikemukakan mengandungi keterangan bersifat dengar cakap.
Najib kemudiannya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan tersebut melalui keputusan majoriti 2-1 dan mengarahkan kes berkenaan dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


