Titah Agong: 'Jelaslah bagus, laksana dengan tegas' - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini. - Gambar fail
SERDANG: Perdana Menteri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengenai isu rasuah termasuk dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan menyifatkannya sebagai titah yang jelas.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah berkenaan perlu dilaksanakan dengan ketegasan.
“Jelaslah bagus, laksana dengan tegas,” kata Perdana Menteri secara ringkas kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Isnin.
Beliau mengulas titah Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada Isnin.
Awal hari ini, Sultan Ibrahim menzahirkan dukacita terhadap skandal rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baginda bertitah, rasuah yang berleluasa akan menghalang rancangan negara untuk maju.
Sultan Ibrahim turut menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan segera tanpa mengira kedudukan individu yang disiasat.
“Saya kecewa kerana terdapat kes-kes rasuah dalam angkatan tentera, sehingga ke peringkat tertinggi. Nampaknya saya mungkin terpaksa melantik seorang sarjan sebagai ketua angkatan tentera," titah Sultan Ibrahim.
Baginda juga bertitah, amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran dengan penglibatan aktif rakyat sebagai mata dan telinga negara, termasuk melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.
Baginda menekankan agar tindakan tegas dikenakan bukan hanya terhadap penerima, malah pemberi rasuah serta ejen yang bersubahat, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Dalam pada itu, baginda bertitah agar kerajaan menyediakan hakim yang berpengalaman serta mewujudkan laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah.
Titah baginda, langkah sedemikian bertujuan agar kes diselesaikan dengan segera sekali gus mengelak kelewatan yang boleh menjejaskan integriti proses perundangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


