KUALA LUMPUR: Titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berhubung usaha serta cadangan memperkasa pendidikan tahfiz termasuk mengimbangi pendidikan agama, arus perdana serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Majlis Tahfiz Negara akan diteliti dan diperhalusi bersama-sama pihak berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pandangan dan cadangan yang dizahirkan baginda memberi pedoman amat bermakna dalam menentukan hala tuju pendidikan tahfiz negara.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Tahfiz Negara berkata usaha itu penting bagi melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja teguh hafazan dan tinggi kefahaman agamanya, malah menguasai ilmu, kemahiran serta bidang profesional.
“Al-Quran menjadi asas, ilmu memperluas pemikiran dan kemahiran membuka masa depan.
“Insya-Allah, cadangan yang dizahirkan baginda akan diteliti dan diperhalusi sebaiknya bersama pihak berkaitan dalam usaha memperkukuh ekosistem tahfiz negara dan melahirkan generasi al-Quran yang mampu menyumbang kepada ummah serta negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut merafak sembah menjunjung kasih atas titah Sultan Muhammad V sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-57, khususnya berhubung cadangan berkaitan pendidikan tahfiz.
Ahmad Zahid turut mendoakan Sultan Muhammad V terus dikurniakan keafiatan, kebijaksanaan dan keberkatan dalam menaungi rakyat.
Terdahulu, dalam titah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-57 di Istana Balai Besar, Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan kesyukuran terhadap perkembangan terkini berkaitan Majlis Tahfiz Negara oleh kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah perancangan berkenaan selari dengan visi kerajaan negeri untuk membina dua maahad tahfiz di Gua Musang dan Kuala Krai, sekali gus melengkapkan ekosistem pendidikan agama dan tahfiz di Kelantan.
-- BERNAMA