LUMUT: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Skuadron Littoral Mission Ship (LMS) ke-11 berjaya menggagalkan cubaan pencerobohan 12 bot nelayan asing (BNA) daripada memasuki perairan negara, berhampiran Pulau Perak, petang tadi.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut.

Katanya, Maritime Component Commander (MCC) Barat telah mengatur gerak aset paling hampir iaitu KD Keris untuk ke lokasi pengesanan awal bot tersebut, di sekitar perairan Tenggara Pulau Perak.

"Setibanya di posisi pengesanan, KD Keris mempamerkan kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas lima buah BNA di lapangan.

"Manakala baki tujuh buah BNA lagi yang dilaporkan, dipercayai telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, beliau memaklumkan, pesawat B200T (RMF 339) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan keberadaan 12 buah BNA di dua posisi berbeza iaitu pada 71 batu nautika dan 57 batu nautika Tenggara Pulau Perak.

"Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut," ujarnya.

Tegasnya lagi, TLDM bersama-sama agensi penguatkuasa maritim lain sentiasa memperkasa kesiapsiagaan aset Op Benteng Laut demi menjaga perairan dan kedaulatan negara.