CYBERJAYA: Daripada telegraf dan telefon kepada gentian optik, pusat data serta kecerdasan buatan (AI), perjalanan 80 tahun Telekom Malaysia Berhad (TM) mencerminkan perubahan negara yang terus bergerak merentasi generasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, hubungan erat itu terbina apabila syarikat berkenaan terus berkembang seiring dengan perubahan keperluan rakyat dan negara.
“TM membesar bersama negara. Kita bermula dengan telegraf dan telefon, kemudian jalur lebar dan gentian optik, dan hari ini kita bercakap tentang pengkomputeran awan, pusat data, keselamatan siber dan AI.
“Apabila kita menyambut 80 tahun TM, kita sebenarnya bukan sekadar melihat sejarah sebuah syarikat. Kita melihat satu perjalanan yang sangat rapat dengan perjalanan Malaysia sendiri,” katanya.
Menurut Amar, nilai sebenar kemajuan bukan hanya terletak pada kecanggihan teknologi, tetapi sejauh mana ia memberi manfaat kepada rakyat serta menyokong pembangunan negara.
Beliau berkata, peranan TM turut terserlah ketika Malaysia berdepan pelbagai krisis apabila rangkaian komunikasi menjadi talian hayat bagi memastikan rakyat kekal berhubung.
“Ketika negara diuji oleh banjir, bencana atau COVID-19, telekomunikasi menjadi talian hayat supaya rakyat boleh terus bekerja, anak-anak boleh belajar, perniagaan boleh beroperasi dan perkhidmatan penting kerajaan terus berjalan,” ujarnya.
Dalam meneruskan perjalanan itu, Amar berkata, kemajuan digital hanya benar-benar bermakna apabila manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa dibatasi lokasi atau kemampuan.
Bagi TM, usaha berkenaan bukan sahaja merangkumi peluasan akses ketersambungan ke bandar, luar bandar dan pulau terpencil, tetapi juga membina keupayaan rakyat untuk memanfaatkan teknologi.
Antaranya menerusi Program Jangkau Digital TM di Kampung Mukut, Pulau Tioman yang membantu komuniti setempat menggunakan teknologi bagi tujuan pembelajaran, keselamatan dan kegiatan ekonomi.
Selain sambungan menerusi kabel dasar laut sepanjang 75 kilometer dari Kuala Rompin, TM turut menyediakan liputan WiFi di seluruh kampung, manakala pengusaha pelancongan tempatan berpeluang memperluas capaian pasaran menerusi visitmukut.com.
“Di Kampung Mukut, Pulau Tioman misalnya, ketersambungan bukan sekadar memberi internet. Ia membantu anak-anak belajar, membolehkan komuniti berhubung dengan lebih baik ketika kecemasan dan memberi peluang kepada peniaga kecil memasarkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pelanggan yang lebih luas,” jelasnya.
TM turut membangunkan bakat tempatan menerusi Multimedia University (MMU), program TM Future Skills (TMFS), Yayasan TM serta latihan dalam bidang pengekodan, robotik dan AI.
Amar berkata, dalam era AI, Malaysia memerlukan rangkaian berkapasiti tinggi dan dipercayai, pusat data sedia AI, pengkomputeran awan, keselamatan siber serta bakat tempatan yang mampu mengendalikan teknologi berkenaan.
“Dalam perjalanan TM menuju Digital Powerhouse 2030, inilah amanah dan peranan yang akan terus kami galas.
“Kita bukan sekadar mengikuti perubahan teknologi, tetapi membantu membina keupayaan yang Malaysia perlukan untuk masa hadapan, demi kemajuan yang progresif dan negara yang lebih inklusif,” katanya.
Sempena ulang tahun berkenaan, TM turut menerbitkan filem pendek “Gema Malaysia” yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar serta mengimbau peranan rangkaian telekomunikasi dalam membolehkan laungan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman didengari rakyat di seluruh negara.