Tengku Mahkota Johor (TMJ) Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang membuat kenyataan bahawa tiada masalah di antara Sultan Johor dan Perdana Menteri.

TMJ berkata, tidak wajar untuk Dr Mohd Puad membuat kenyataan tersebut tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Merujuk pernyataan yang dibuat seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengatakan tidak ada masalah antara Sultan Johor dan perdana menteri, pada pendapat saya seseorang tidak perlu membuat kenyataan tanpa menyedari cerita yang sebenar.

"Jangan membuat spekulasi berkenaan DYMM Tuanku ada masalah dengan perdana menteri atau tidak, kerana hanya DYMM Sultan dan saya sahaja yang tahu keseluruhan cerita tentang perkara tersebut.

"Oleh itu, buat masa ini, hanya kita perlu tahu dan tidak ada sebab untuk ia didedahkan kepada umum," katanya menerusi akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Ahad.

Pada Sabtu, Mstar melaporkan, Dr Mohd Puad menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang menyebarkan khabar angin di media sosial bahawa Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai hubungan baik.

Antara lain, Dr Mohd Puad turut memberitahu bahawa perkara itu disahkan dalam pertemuannya dengan Najib baru-baru ini.


TMJ