TMM 2026 pacu perubahan strategik industri perhotelan negara

Chiew berkata, TMM 2026 merupakan detik yang tepat untuk menyusun semula aset hospitaliti Malaysia secara strategik dengan fokus bukan sahaja kepada mempromosi destinasi, tetapi juga mengoptimumkan asas sektor ini. - Gambar hiasan/Bernama
PETALING JAYA: Sektor penginapan di Malaysia sedang mengalami transformasi besar bagi memenuhi perubahan permintaan, dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dilihat sebagai peluang utama untuk menyusun semula dan memperkukuh aset hospitaliti negara.
Ringkasan AI
- Sektor penginapan di Malaysia mengalami transformasi besar untuk memenuhi permintaan baru, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang menjadi peluang utama untuk memperkukuh aset hospitaliti negara.
- Kepelbagaian penginapan dari hotel hingga penginapan alternatif menandakan evolusi dalam pilihan pelancong, dengan peningkatan permintaan untuk penginapan co-living dan jangka panjang oleh golongan profesional muda dan pelawat antarabangsa.
- Pemilik hotel perlu memahami gaya hidup baharu pelancong untuk membentuk ekonomi masa depan, dengan fokus bukan hanya pada promosi destinasi tetapi juga pada kualiti, kebolehsuaian, dan penempatan strategik infrastruktur hospitaliti bagi mencapai sasaran negara menerima lebih 40 juta pelawat menjelang 2026.
"Hotel dan resort kita bukan lagi sekadar aset fizikal semata-mata, sebaliknya telah berubah menjadi platform gaya hidup, kebudayaan dan penglibatan komuniti," katanya dalam ucaptama di persidangan The CEO Series 2026 anjuran Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), di sini, pada Khamis, yang turut dihadiri oleh Pengerusinya, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip.
Chiew berkata, pelancong kini tidak lagi mengikuti satu profil yang seragam, dengan permintaan yang semakin meningkat untuk penginapan co-living dan penginapan jangka panjang yang digemari oleh golongan profesional muda, pengembara digital dan pelawat antarabangsa.
Beliau berkata, terdapat peningkatan permintaan terhadap model penginapan hibrid jangka panjang yang memenuhi keperluan keluarga, pelancong perubatan dan pelancong perniagaan selain bleisure (gabungan perniagaan dan pelancongan) dan bekerja dari jarak jauh, iaitu segmen yang menggabungkan kerja, riadah serta jaringan sosial yang menyaksikan tempoh penginapan lebih lama dan perbelanjaan domestik lebih tinggi.
"Bagi pemilik hotel, memahami dan merangka penginapan mengikut gaya hidup baharu ini adalah amat penting dalam membentuk ekonomi masa depan.
"Apabila ruang penginapan berfungsi sebagai hab produktiviti dan penghubung sosial, para pelawat menjadi penyumbang aktif dengan memanjangkan tempoh penginapan, meningkatkan penglibatan dengan komuniti tempatan, serta mewujudkan nilai baharu untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana), peruncit dan penyedia perkhidmatan. Ini bukan sekadar trend pelancongan, tetapi peluang ekonomi yang penting," katanya.
Chiew berkata, TMM 2026 merupakan detik yang tepat untuk menyusun semula aset hospitaliti Malaysia secara strategik dengan fokus bukan sahaja kepada mempromosi destinasi, tetapi juga mengoptimumkan asas sektor ini, selaras dengan sasaran negara untuk menerima lebih 40 juta pelawat dan RM329 bilion hasil pelancongan menjelang 2026.
"Untuk mencapai ini, ia memerlukan lebih daripada sekadar menambah bilangan bilik. Ia menuntut agar kita mengoptimumkan kualiti, kebolehsuaian dan penempatan strategik keseluruhan infrastruktur hospitaliti kita," katanya.
Persidangan itu turut menampilkan sesi perbincangan tentang bagaimana hotel dan sektor penginapan di Malaysia boleh direka bentuk untuk memenuhi keperluan pelancong moden dan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, seiring dengan TMM 2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


