KUALA LUMPUR: Peruntukan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan menerusi Belanjawan 2027 dijangka memperhebat promosi Malaysia sebagai destinasi pilihan dunia, susulan pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) hingga tahun depan.
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyifatkan peruntukan itu sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh industri berkenaan menerusi promosi, penambahbaikan infrastruktur, peluasan jaringan penerbangan antarabangsa serta sokongan terhadap penganjuran acara bertaraf dunia.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, keutamaan kini adalah memastikan peruntukan itu diterjemahkan kepada manfaat nyata yang dapat dinikmati pemain industri, termasuk pengusaha di peringkat akar umbi.
“Kami berharap geran dan insentif yang diumumkan dapat diakses oleh penggiat industri, termasuk agensi pelancongan, pengendali pelancongan, syarikat pengangkutan pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana.
“Matlamat kita bukan sekadar meningkatkan ketibaan pelancong, tetapi juga memastikan perbelanjaan mereka memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas mengumumkan peruntukan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan susulan pelanjutan kempen TMM hingga 2027.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu antaranya merangkumi geran galakan kepada penggiat industri bagi tujuan promosi dan penganjuran acara pelancongan.
Mengulas lanjut, Nigel berkata, MATTA komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan, Tourism Malaysia dan pemain industri bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan yang berdaya saing di peringkat global.
“Melalui rangkaian MATTA, ahli kami yang terdiri daripada agensi pelancongan boleh membantu membangunkan pakej yang menggabungkan ekopelancongan, warisan, kebudayaan, makanan tempatan dan pengalaman komuniti, sekali gus menggalakkan pelancong meneroka lebih banyak destinasi di Malaysia.
“MATTA juga akan menggalakkan ahli memanfaatkan geran promosi dan peluang yang disediakan serta membangunkan pakej yang boleh dipasarkan kepada pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu juga penting bagi memastikan manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan turut dinikmati pengusaha tempatan termasuk hotel, pemandu pelancong, pengusaha pengangkutan dan komuniti setempat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Datuk Dr Angie Ng berkata, peruntukan berkenaan membuka ruang lebih luas untuk memperhebat promosi, meningkatkan daya saing destinasi serta merancakkan pertumbuhan industri pelancongan negara.
“Dari perspektif pasaran China, perkembangan yang dicapai amat memberangsangkan apabila pada 2025, negara merekodkan kira-kira 4.7 juta ketibaan pelawat dari China, meningkat 25.1 peratus berbanding 2024.
“Bagi suku pertama 2026, ketibaan pelawat dari China pula mencecah kira-kira 1.4 juta, meningkat sekitar 25.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Angie berkata, meskipun 2026 belum berakhir, angka berkenaan menunjukkan momentum pertumbuhan positif dan memberi keyakinan kepada MICA bahawa pasaran China terus menawarkan potensi besar kepada industri pelancongan Malaysia.
Mengenai inisiatif kerajaan memperluas kemudahan pembayaran kod respons pantas (QR) ke 15 lokasi tumpuan pelancong pada 2027, termasuk pulau peranginan, beliau menyifatkannya sebagai langkah strategik bagi meningkatkan pengalaman pelancong, khususnya di destinasi yang mempunyai akses terhad kepada mesin juruwang automatik (ATM).
“Pada masa kini, pembayaran digital dan e-dompet semakin menjadi sebahagian daripada pengalaman perjalanan pelancong. Bagi pelancong dari China khususnya, pembayaran menerusi aplikasi mudah alih seperti Alipay dan WeChat Pay memainkan peranan penting dalam urus niaga harian mereka.
“Oleh itu, peluasan pembayaran kod respons pantas (QR) berpotensi menjadikan Malaysia lebih mesra pelancong antarabangsa, dengan syarat sistem yang disediakan menyokong kaedah pembayaran yang biasa mereka gunakan,” katanya.
-- BERNAMA