KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang mengenal pasti punca kejadian kebakaran yang berlaku di Pencawang Masuk Utama (PMU) di pusat beli-belah Mid Valley Mega Mall hari ini.

TNB dalam kenyataannya mengesahkan kejadian kebakaran di PMU Mid Valley pada 10.27 pagi tadi dan langkah segera untuk pemulihan bekalan telah diambil dengan sebahagian pengguna terlibat telah mendapat bekalan seawal pukul 10.55 pagi.

"Kebakaran PMU tersebut menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu pasukan teknikal TNB telah pun digerakkan ke lokasi kejadian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memadamkan kebakaran.

"TNB sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan. Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454 untuk maklumat lanjut.

"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," demikian menurut kenyataan itu.

Satu kebakaran berlaku di Mid Valley Megamall pagi tadi dan beberapa video tular dalam media sosial yang menunjukkan kepulan asap hitam keluar daripada bangunan itu.

Sementara itu, JBPM menggunakan kaedah offensive dan defensive dalam mengawal dan memadam kebakaran di pusat beli-belah itu yang melibatkan bilik pencawang TNB.

Komander Operasi Wan Mohd Sharir Asizi Wan Said berkata api telah dapat dikawal pada 12.07 tengah hari dan padam sepenuhnya pada 12.44 tengah hari dan kini pihaknya sedang melakukan kerja-kerja overhaul.

Beliau juga mengesahkan tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Kebakaran itu melibatkan pencawang masuk utama ke bilik transformer TNB di bangunan Mid Valley berkeluasan 40x40 kaki persegi dan terbakar kira-kira 70 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, pasukan operasi dari Balai Bomba Pantai serta bantuan dari Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Balai Bomba Seputeh dan Balai Bomba Sri Hartamas dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.32 pagi bersama jentera dengan kekuatan 45 anggota.

-- BERNAMA