KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 333 bekalan pencawang elektrik di enam negeri berikutan situasi banjir yang melanda negeri-negeri itu sejak semalam.

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat 12 tengah hari tadi, 137 pencawang elektrik ditutup di Pahang, Kelantan (7), Selangor (117), Kuala Lumpur (45), Melaka (10), Negeri Sembilan (17) kerana mengambil kira keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

Penutupan itu melibatkan 17,251 pengguna di Pahang, Selangor (5,062), Kuala Lumpur (4,450), Melaka (634), Kelantan (470) dan 284 pengguna di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, bekalan elektrik akan dibekalkan melalui set jana kuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara (PPS) yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.

"Penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan kerana TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB," menurut kenyataan itu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Banjir 2021: Segerakan usaha menyelamat

Dalam pada itu, TNB turut menasihatkan orang ramai di kawasan banjir supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.

"Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air. Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan," menurut TNB.

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air dan elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan.

Pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air setelah banjir surut.

-- BERNAMA