KUALA LUMPUR: Isteri kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri apabila dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri iaitu Darjah Kebesaran Tertinggi bagi Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri Utama sempena sambutan Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut tersenarai, Datuk Dr Syed Hussian Syed Junid yang dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pengerusi Kumpulan Western Digital (M) Sdn Bhd itu adalah antara dua individu yang menerima Darjah Kedua Tertinggi bagi Pulau Pinang, selain bekas Pengerusi Kumpulan Maybank yang kini Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Mohaiyani Shamsudin, menurut satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, seramai 1,036 individu bakal dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan ulang tahun itu dengan 148 penerima membawa gelaran Datuk Seri Utama, Datuk Seri dan Datuk.

Kenyataan itu turut menjelaskan, 148 penerima tersebut melibatkan seorang penerima untuk Darjah Utama Pangkuan Negeri; dua untuk Darjah Panglima Pangkuan Negeri; Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (15), Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (14) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (116).

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, semua acara sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-72 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Jelasnya, penangguhan itu diputuskan susulan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu.