Timbalan Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan menghargai sokongan perwakilan UMNO yang membantunya memenangi jawatan berkenaan dalam Pemilihan parti, semalam.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau akan memewang jawatan nombor dua dalam parti itu bagi penggal 2018 - 2021.

"Alhamdulillah, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua sahabat dan perwakilan UMNO yang membantu saya secara langsung atau tidak dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO bagi penggal 2018 - 2021 ini. Terima kasih dan salam," katanya melalui kenyataan di Twitternya, hari ini.

Kemenangan Mohamad atau lebih mesra disapa Tok Mat dilihat sebagai kejayaan berganda apabila beliau turut mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Nama Tok Mat menjadi bualan netizen selepas PRU14 apabila ramai mencadangkan namanya dan bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerajui kepimpinan parti selepas Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melepaskan jawatan.

Dalam PRU14 baru-baru ini, beliau memberi kemenangan pertama kepada BN selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding kerana lawannya, Dr S Streram gagal kemukakan kertas penamaan calon.

Begitupun, kekalahan BN di peringkat negeri dan pusat menyebabkan beliau melepaskan jawatan Menteri Besar dan kini jawatan itu disandang ADUN Sikamat, Aminuddin Harun.