KUALA LUMPUR: Tokoh kebajikan dan pejuang warisan batik Malaysia, Datuk Leela Mohd Ali, dilaporkan meninggal dunia pagi ini pada usia 86 tahun.
Allahyarham yang dikenali menerusi sumbangannya dalam bidang kebajikan, pembangunan masyarakat dan usaha memartabatkan batik Malaysia dilapor menghembuskan nafas terakhir selepas puluhan tahun menabur bakti kepada negara.
Setakat ini, punca kematian Allahyarham belum diumumkan, manakala maklumat berkaitan urusan pengebumian dijangka dimaklumkan oleh keluarga dalam masa terdekat.
Pemergian Allahyarham turut dikongsi bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar dan amat menyedihkan.
Menurut beliau, legasi Leela akan terus dikenang melalui jasa, kasih sayang dan keprihatinan yang dicurahkan kepada masyarakat sepanjang hayatnya.
"Saya akan sentiasa menghargai saat-saat bermakna, termasuk nasihat dan keprihatinan tulus yang dikongsikan Allahyarham bersama kami," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Leela merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) dan pernah memegang jawatan Yang Dipertua Persatuan Batik Malaysia, selain aktif mempromosikan batik sebagai sebahagian daripada warisan dan identiti Malaysia.
Allahyarham mendapat latihan di Institut Pendidikan Guru di Bukit Gelugor, Pulau Pinang dalam bidang pendidikan jasmani dan sejarah sebelum memulakan kerjaya sebagai guru di SMK Clifford, Kuala Kangsar.
Minat mendalamnya terhadap sukan turut menyaksikan beliau mewakili Pulau Pinang dalam sukan hoki sebelum meneruskan karier sebagai pemain hoki negeri Perak.
Dalam bidang akademik, beliau memperoleh Diploma Teaching English as a Second Language (TESL) sebelum berkhidmat di sebuah institut bahasa di Kuala Lumpur dan kemudiannya sebagai pensyarah pendidikan guru di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Allahyarham kemudian menyertai Kementerian Pendidikan dan bersara pada 1994 sebagai Penolong Pengarah yang bertanggungjawab dalam bidang Bahasa Inggeris di Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional.
Namun, legasi Leela paling banyak dikaitkan dengan Yayasan Budi Penyayang serta perjuangannya meneruskan cita-cita sahabat baiknya, Allahyarham Tun Endon Mahmood, dalam memartabatkan seni dan warisan tekstil tradisional Malaysia.