AYER KEROH: Seorang tonto dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM101,625 daripada 10 syarikat pengangkutan lori, sejak 2016 lalu.

Tertuduh, Norsham Ahmad, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 43 pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan berkenaan sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Melaka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Malaysia Berhad (Maybank) Masjid Tanah, Maybank Islamic Berhad Alor Gajah, Maybank Bukit Baru, Public Bank Berhad (Public Bank) Ayer Keroh dan Public Bank MalimJaya antara 6 Januari 2016 hingga 13 Mac 2021 lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM50,000 dengan mengambil kira jumlah suapan yang diterima adalah tinggi serta memohon syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat.

Tertuduh yang diwakili peguam Fahmy Sulaiman bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah dikenakan memandangkan tertuduh hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap serta menghidap penyakit kencing manis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Elesabet turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport perjalanan antarabangsa kepada mahkamah selain melaporkan diri di Pejabat SPRM negeri sekali setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.