GEORGE TOWN: Tourism Malaysia menyasarkan menjual 500 hingga 600 Pakej Durian Tourism mulai 1 Julai lepas hingga 31 Ogos ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zainuddin Abdul Wahab.

Zainuddin berkata pakej tersebut dijalankan di sekitar negeri wilayah utara dan pihaknya menyasarkan pulangan lebih RM100,000 kepada pengusaha agensi pelancongan yang menyertai program berkenaan.

"Antara pakej yang ditawarkan ialah Pakej 2 Hari 1 Malam bermula daripada RM290 seorang dan Pakej 3 Hari 2 Malam bermula daripada RM388 seorang dengan tempahan minimum empat orang bagi setiap pakej.

"Bagi merancakkannya, Tourism Malaysia turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada pembeli pakej tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen Pakej Durian Tourism 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata program itu bertujuan merancakkan semula aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan domestik selain membantu pengusaha dusun durian malah ia juga dilihat berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

Zainuddin berkata bagi menjayakan kempen itu, Tourism Malaysia telah menjalin kerjasama dengan lima pengusaha pelancongan dalam membangunkan pakej durian yang menggabungkan elemen ekopelancongan, agropelancongan, arkeopelancongan dan pengembaraan lasak.

Beliau berkata lima pengusaha itu ialah Kurma Travel and Tours Sdn Bhd, Adventure360 Tours Sdn Bhd, Time Free Vacation Sdn Bhd, M.Maha-Izah Transport and Tours Sdn Bhd dan Asia Gateway Tours.

"Maklumat lanjut berkenaan pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel," katanya.

Zainuddin berkata pihaknya dalam masa sama berharap lebih ramai pengendali pelancongan bukan sahaja di negeri wilayah utara malah seluruh Malaysia dapat terlibat dengan pakej seumpama itu.

-- BERNAMA