“Saya sedih atas kejadian kemalangan yang mengorbankan tujuh pelajar tahfiz.”

Itu luahan hati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang sedih dengan kemalangan di Kampung Telekong, Kuala Krai Kelantan pagi tadi yang mengorbankan tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi.

Sehubungan itu, beliau mahu pengurusan maahad tahfiz mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada terus berlaku.

Tambah beliau, kejadian seumpama itu dapat dielakkan dengan menentukan piawaian tersebut dipatuhi.

“Saya menghargai usaha individu atau organisasi untuk melaksanakan pendidikan huffaz atau tahfiz ini, tetapi kita tidak mampu untuk berkompromi dari segi keselamatan kebajikan dan juga keperluan asas bagi menentukan soal keselamatan.

“Nyawa anak-anak ini mesti diambil kira dan diberikan keutamaan.

“Jadi kesedihan ini saya fikir bukan hanya sekadar perasaan. Saya sendiri ada sekolah yang sama, dan saya harap ini satu pengajaran untuk sekolah-sekolah tahfiz untuk lebih bersiap siaga bagi mengelakkan kemalangan.

“Memang kemalangan tidak berbau, tetapi kita boleh mengelakkannya jika kita menentukan paiwaian bagi kenderaan-kenderaan sekolah tahfiz in,” ujar beliau.

Datuk Seri Zahid turut berpesan kepada semua mudir-mudir bahawa nyawa dan keselamatan anak-anak tahfiz bukanlah taruhan.

“Saya mengingatkan diri saya dan mudir-mudir maahad tahfiz bahawa nyawa anak-anak bukan taruhan.

“Elok kalau kita dapat mengikuti peraturan dan undang-undang muatan yang ada kerana ini soal nyawa,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) peringkat negeri di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 100 orang golongan kurang berkemampuan, dan seterusnya mengimamkan solat Maghrib yang disertai hampir 500 jemaah.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 9.45 pagi di Kampung Telekong itu, tujuh pelajar tahfiz Maahad Tahfiz Al-Hashimi maut manakala lima lagi pelajar dan dua guru parah.