MALAYSIA
TPM Ahmad Zahid tiba di Singapura sempena Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura 2025

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan serta Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.- Foto FB Zahid Hamidi
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Singapura pada Sabtu untuk lawatan kerja dua hari dan bagi mewakili kerajaan Malaysia sempena Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura 2025 petang ini.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi wakili Malaysia dalam Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura 2025, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.
- Lawatan kerja dua hari turut melibatkan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong untuk memperkukuh kerjasama dua hala.
- Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan mencecah RM396.22 bilion pada 2024 dan peningkatan 12.2% bagi suku pertama 2025.
"Insya-Allah, saya percaya kunjungan ini akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin, serta membuka lebih banyak pintu kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara," menurut Ahmad Zahid menerusi perkongsian di laman Facebook.
Semasa lawatan, beliau dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, serta mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbincangan akan memberi tumpuan kepada kerjasama dua hala dan perkara-perkara berkepentingan bersama bagi mengukuhkan hubungan sedia ada.
Pada 2024, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah kira-kira RM396.22 bilion (AS$86.69 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan dua hala meningkat 12.2 peratus kepada RM97.93 bilion (AS$22.00 bilion).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami