Umat Islam perlu mengukuhkan kefahaman agama bagi memastikan ia tidak diseleweng untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan ia penting bagi mengelak perpecahan.

Muhyiddin berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh kelompok tertentu menyebabkan timbulnya kekeliruan dan membawa perpecahan di kalangan umat Islam negara ini.

"Ada pihak-pihak yang menggunakan agama sebagai contoh untuk memecahbelahkan umat Islam, ada fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu, parti-parti politik yang tidak mendokong perjuangan kerajaan hari ini mengeluarkan pelbagai kenyataan-kenyataan yang kadang-kadang menimbulkan perbalahan malahan perpecahan yang bukan baharu untuk sekian lamanya," kata Muhyiddin.

Katanya lagi, amanat seperti yang dikeluarkan presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang jelas terbukti menimbulkan masalah.

"Inilah perkara yang hangat diperbincangkan dalam media. Amanat Hadi ini bukan soal politik tapi soal agama yang telah pun tersebar luar sekian lamanya yang jelas terbukti telah menimbulkan banyak masalah dikalangan masyarakat Islam. Banyak perpecahan telah timbul."

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Rakyat selepas solat Jumaat di Masjid Al-Mukhlisin, Cheras.