Kedutaan Besar Malaysia Keherah (KBMK) dan Education Malaysia Egypt (EME) telah memindahkan pelajar-pelajar di kawasan konflik ke kawasan yang lebih selamat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan media hari ini berkata pelajar-pelajar dinasihatkan agar berada di dalam rumah masing-masing, tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan dan sentiasa mematuhi arahan KBMK dan EME.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata ibu-bapa dinasihatkan agar tidak bimbang dengan keselamatan para pelajar Malaysia di Mesir kerana pihak KBMK dan EME sentiasa berhubung dan memantau keadaan keselamatan mereka di sana.

Katanya, berdasarkan situasi semasa di Mesir, semua pemergian pelajar baru ditangguhkan untuk sesi 2013/2014 yang sepatutnya bermula pada September 2013.

"Pihak KPM sedang berunding dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir agar kemasukan pelajar Malaysia ditangguhkan untuk satu semester.

"Manakala pelajar yang sedang bercuti di Malaysia juga diminta menangguhkan kepulangan ke Mesir termasuk pelajar-pelajar yang perlu menduduki peperiksaan ulangan.

"Pihak KPM sedang berunding dengan semua universiti di Mesir untuk menangguhkan peperiksaan ulangan bagi tempoh yang munasabah," katanya.

Muhyiddin berkata, sekiranya keadaan di Mesir masih tidak membolehkan pelajar pulang untuk menduduki peperiksaan ulangan, pihak KPM sedang berusaha agar peperiksaan ulangan tersebut dapat diadakan di Malaysia.

Beliau menjelaskan, pihak KPM akan berunding dengan KPT Mesir agar pengajian semua pelajar Malaysia di Mesir ditangguhkan satu semester sekiranya krisis berlanjutan dan suasana tidak menentu sehingga memaksa evakuasi dilaksanakan.

"Namun begitu, sekiranya keadaan di Mesir tidak pulih dan tidak selamat bagi pelajar Malaysia meneruskan pengajian di sana, maka KPM akan membantu pelajar-pelajar yang terlibat mendapatkan tempat pengajian di negara-negara lain yang selamat dan di IPT swasta dalam negara," katanya lagi.

Beliau berkata, bagi tujuan penyelarasan berhubung pengajian pelajar, pihak penaja adalah dipohon supaya merujuk kepada KPM yang merupakan agensi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan pelajar di Mesir.

Untuk memastikan penyaluran maklumat yang tepat mengenai kedudukan pengajian pelajar Malaysia di Mesir, ibu bapa dan pelajar dinasihatkan hanya merujuk kepada KPM dan bukan kepada mana-mana agensi penempatan pelajar atau pihak-pihak lain.

Bagi memudahkan ibubapa dan pelajar mendapatkan maklumat terkini, bilik operasi KPM telah dibuka mulai 16 Ogos 2013 dan boleh dihubungi untuk sebarang pertanyaan di talian 03-8870 6611 dan 03-8870 6627, e-mel : [email protected] , facebook: https://www.facebook.com/pages/StudentWorld/207845832591425.