KUALA LUMPUR : PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan akan berlaku sekali lagi lonjakan trafik pada hujung minggu ini susulan penghujung cuti sekolah sempena Aidilfitri selain cuti Hari Pekerja pada Isnin.

Justeru, PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatifkan 'SmartLane' iaitu pembukaan sementara lorong kecemasan  di laluan-laluan tertentu yang kritikal di lebuh raya untuk menambah kapasiti lorong.

Kerjasama tersebut turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, sepanjang cuti perayaan ini, ‘SmartLane’ telahpun diaktifkan di dua laluan PLUS menghala ke utara iaitu antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban antara KM260.0 hingga KM263.1 (Arah Utara) dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai antara KM19.0 hingga KM27.0 (Arah Utara) bagi membantu melancarkan pergerakan trafik.

"Pelaksanaan ‘SmartLane’ di dua laluan di wilayah selatan tersebut telah menerima maklum balas yang positif dan disambut baik oleh pengguna lebuh raya kerana inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kesesakan.

"Ketika laluan ‘SmartLane’ ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.

"Bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan atau laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan ‘SmartLane’ diaktifkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain dua laluan tersebut, PLUS juga telah mengenal pasti lokasi lain bagi pengaktifan laluan ‘SmartLane’ iaitu laluan Gua Tempurung-Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 (Arah Utara), Slim River-Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (Arah Utara) dan Rawang-Sungai Buaya antara KM439.9 – KM435.5 (Arah Utara).

Namun, pengaktifan laluan ‘SmartLane’ di lokasi-lokasi tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum ia dilaksanakan.

Pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti penggunaan laluan ‘SmartLane’ ini melalui papan tanda laluan ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik.