KUALA LUMPUR: Keadaan trafik dari Lembah Klang menghala ke Pantai Timur mulai sesak pagi ini susulan orang ramai mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan berlaku dari Gombak ke Genting Sempah dan dari Bukit Tinggi ke Lentang.
Advertisement
Aliran trafik menuju ke utara dan selatan pula masih lancar dan kesesakan hanya berlaku dari Bandar Baharu ke Jawi susulan lori rosak.
“LLM menjangkakan aliran trafik akan mula bertambah mulai tengah hari ini susulan diskaun tol sebanyak 50 peratus mulai tengah malam tadi hingga 11.59 malam esok,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Orang ramai digesa mematuhi had laju yang ditetapkan dan sentiasa mengawasi jarak selamat kenderaan masing-masing sepanjang perjalanan.
Pengguna turut digalak merancang perjalanan dengan merujuk jadual waktu perjalanan (TTA) melalui aplikasi MyPLUS-TTA, selain mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.
-- BERNAMA