Kerajaan Pulau Pinang telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat punca kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini yang meragut nyawa sembilan pekerja warga asing Jumaat lepas.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman juga akan menyiasat dan mengenalpasti pihak bertanggungjwab yang menyebabkan runtuhan berlaku di tapak pembinaan berkenaan.

Katanya, jawatankuasa khas itu akan turut dianggotai, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari, wakil Institut Kejuruteraan Malaysia negeri dan seorang jurutera dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Foto Astro AWANI
Kon Yeow berkata, jawatankuasa itu hanyalah tambahan kepada siasatan yang dilakukan oleh pihak berwajib.

Katanya, jawatakuasa khas itu akan memulakan siasatan dalam tempoh terdekat selepas pihaknya menerima laporan awal daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selain laporan bertulis daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung tragedi itu.


"Dari laporan awal yang kita terima, ada unsur ketidakpatuhan kepada kaedah perjalanan projek di tapak berkenaan, dan kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat punca berlakunya kejadian tanah runtuh di tapak Bukit Kukus Paya Terubong dan untuk kenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kejadian di tapak pembinaan berkenaan," katanya pada sidang media pada Rabu.

Dalam masa sama, Kon Yeow berkata, bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak berlaku di masa depan, semua agensi yang terlibat dengan projek infrastruktur dan pembinaan bangunan dinegeri itu diminta meneliti semula aspek keselamatan ditapak projek masing-masing.

Malah pemaju yang ingin memulakan projek di Pulau Pinang juga diingatkan supaya melakukan perkara sama.

Kon Yeow berkata setakat ini, kerja-kerja pembinaan di tapak projek itu telah dihentikan sementara selepas mendapat arahan daripada pihak Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaaan Pulau Pinang ( JKKP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang ( MBPP).


Dalam kejadian Jumaat lepas, sembilan mangsa meninggal dunia selepas tertimbus runtuhan tanah yang menimpa kontena yang menempatkan pekerja di tapak projek jalan raya berkembar di Bukit Kukus, Paya Terubong, Jumaat lepas.

Mereka terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan dan seorang wanita Kemboja.