Ajal belum sampai, demikian kata Saari Sungib menceritakan serangan pengganas di Christchurch 15 Mac lalu, yang hampir meragut nyawa menantunya, seorang warga New Zealand.

Dalam nada sebak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang itu berkata, ketika kejadian, menantunya itu tidak dibenarkan majikannya untuk menunaikan solat Jumaat di masjid kerana dia baharu sahaja kembali bekerja.

Terdahulu, menantunya itu telah mengambil cuti selama dua minggu bagi membuat persediaan dan menguruskan hal perkahwinan.

“Berita ini sangat sedih kerana saya menganggap beliau belum dipilih oleh Allah atau beliau dipilih untuk tugas yang lebih luas dari itu.

“Beliau telah tidak datang kerja selama dua minggu kerana urusan perkahwinan. Minggu beliau bekerja, beliau tidak dibenarkan untuk pergi sembahyang (Jumaat).

"Dan ajal beliau tak sampai lagi dan beliau shocked (terkejut) dengan insiden itu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, hari ini.

Perhimpunan Solidariti Kedamaiaan itu turut disertai ibu saudara Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun, satu-satunya rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian yang mengorbankan 50 orang itu.

Berkongsi lanjut, Saari berkata, beliau sempat bertanya kepada menantunya itu, sampai bila beliau akan berada di New Zealand memandangkan ia kelihatan tidak lagi selamat di negara itu.

Namun, menantunya itu tidak mempunyai jawapan kepada soalan tersebut.

Terkesan dengan insiden serangan tersebut, Saari berkata, beliau dan isteri menangis mengenangkan serangan yang disifatkan 'luar biasa' itu.

“Tuan-tuan, saya menangis, isteri saya menangis. Mengenangkan peristiwa yang luar biasa.

"Apabila berlaku kematian, pembunuhan, keganasan, itu yang menawan hati saya, yang menjadikan hati saya lembut, tunduk, sedih dan harapan yang besar kepada dunia ini,” ujarnya di hadapan ribuan peserta yang hadir pada perhimpunan tersebut.

Katanya lagi, hatinya makin tersentuh selepas mendengar ucapan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, yang langsung tidak mengabaikan rakyatnya, tanpa mengira latar belakang mereka.

“Ini satu ungkapan yang cukup luar biasa dan merupakan satu simbol kepada dunia yang kita menuju kepada keamanan, tanpa mengira agama, kaum dan bangsa.

"Kita faham bahawa prinsip kemanusiaan adalah bersatu, sama rata dan sama-sama untuk menikmati anugerah Allah,” katanya.

Pada Jumaat, ribuan rakyat New Zealand termasuk Ardern berkumpul di Hagley Park, satu lokasi terbuka berdekatan Masjid al Noor, Christchurch sebagai memperingati insiden serangan pengganas itu.

Selain itu, buat pertama kali laungan azan berkumandang di seluruh New Zealand menerusi televisyen dan radio nasional, diikuti sesi bertafakur selama dua minit.