KUALA LUMPUR: Datuk Yong Teck Lee menggesa kerajaan meminta Australia mengeluarkan laporan penuh mengenai nahas udara 'Double Six'.

Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, ini adalah kerana alasan digunakan Arkib Negara Australia dalam menahan penerbitan laporan penuh adalah bahawa "pelepasan maklumat dijangka boleh mengakibatkan kerosakan hubungan antarabangsa Komanwel."

Katanya, alasan lain termasuk 'Malaysia masih belum mengeluarkan laporan akhir dan penuh siasatan secara terbuka'.

"Arkib Negara Australia menamakan laporan itu sebagai 'Accident Malaysia Nomad Aircraft 9M-ATZ on 6 June 1976'.

"Dalam dua balasan kepada wakil saya bertarikh 14 Mac 2012, Arkib Negara Australia telah menyatakan bahawa "rekod mereka mengandungi butiran teknikal yang boleh memberi kesan kepada hubungan semasa Komanwel (Australia) dengan kerajaan negara asing". Dalam kes ini, negara asing itu bermakna Malaysia dan bukan yang lain.

"Selanjutnya, kedua-dua laporan Malaysia dan Australia mesti diterbitkan sepenuhnya. Ini kerana Arkib Negara Australia juga telah mendedahkan bahawa "bahagian tertentu teks telah dihapuskan" iaitu dipadamkan.

"Balasan daripada arkib Australia mendedahkan bahawa sejumlah 110 folio ditahan daripada diterbitkan dan setiap folio mengandungi lebih daripada satu halaman," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.


Teck Lee berkata, hanya pelepasan laporan penuh di Malaysia dan Australia boleh menutup babak sejarah Sabah yang amat menyakitkan ini.

Australia terbabit dalam siasatan kemalangan pesawat jenis GAF - Nomad yang terhempas di perairan Sembulan, pada 6 Jun 1976 dan mengorbankan 11 individu termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mohd Fuad Stephen.

Siasatan Australia dalam kes berkenaan berikutan pesawat yang dikendalikan syarikat penerbangan Sabah Air itu adalah buatan negara berkenaan.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan Kabinet Persekutuan untuk menyahklasifikasikan laporan akhir siasatan nahas berkenaan yang dijangka didedahkan minggu depan.