KUALA LUMPUR: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang meninggal dunia ketika pendakian pada Jumaat lalu dijangka dibawa turun dari Kem 4 ke Everest Base Camp hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, perkara itu dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu menerusi panggilan video pada Isnin.

"Sebentar tadi saya telah mengadakan sidang video bersama Datuk Mohammad Ali Selamat, Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negara dan Tuan Mohd Fazle Abu Hasan, Counsellor/Charge d` Affaires, Kedutaan Malaysia di Kathmandu.

"Terkini saya dimaklumkan bahawa pasukan sherpa dijangka membawa turun jenazah dari Kem 4 ke Base Camp pada jam 2 petang (waktu tempatan) hari ini (Isnin)," jelasnya.

Ujarnya, jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Kathmandu pada Selasa bergantung kepada keadaan cuaca di lokasi.

Beliau turut berbincang dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri Sabah akan membantu menampung kos tambahan diperlukan bagi pengurusan jenazah Allahyarham.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada APM dan Ahli Parlimen Papar, saya telah berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

"Ketua Menteri Sabah memberikan komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans bagi pengurusan jenazah Allahyarham untuk memastikan jenazah dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar, Sabah sebagaimana hasrat ahli keluarga," ujarnya.

Tambahnya, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga telah menyalurkan sumbangan untuk tujuan menambh tanggungan kos pengurusan.

Pada masa sama, mana-mana pihak yang berhasrat menyalurkan sumbangan jelas Armizan, boleh berbuat demikian melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Pada Jumaat, Allahyarham Awang Askandar yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah dilaporkan meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) selepas terjatuh ketika mendaki gunung berkenaan.

Allahyarham antara pendaki ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud yang memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).