Skip to main content

Malaysia

Tribunal bagi Antigangguan Seksual berjaya selesaikan 80 aduan dalam tempoh 60 hari

KUALA LUMPUR, 11 Jun -- Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) ketika gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Pejabat Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan Pelancaran Sistem e-TAGS di Menara Aras Raya hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nancy (tengah) ketika gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Pejabat Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan Pelancaran Sistem e-TAGS di Menara Aras Raya hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) berjaya menyelesaikan 80 aduan dalam tempoh 60 hari dari hari pertama pendengaran aduan tersebut manakala 19 lagi masih dalam proses pengurusan.  

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata TAGS yang ditubuhkan pada 8 Mac 2024 itu telah menerima  99 aduan setakat 7 Jun 2026.

Beliau berkata kini tribunal tersebut mengorak satu langkah lebih jauh dengan memperkenalkan sistem e-TAGS iaitu sistem pengurusan aduan secara elektronik, yang mula digunakan pada 1 Jan lepas.

“E-TAGS membantu proses pemfailan, pengurusan, pendengaran dan penyimpanan rekod aduan secara digital agar lebih tersusun, cepat, mudah dan tanpa kertas,” katanya semasa Majlis Perasmian Pejabat TAGS dan pelancaran sistem e-TAGS di Menara Aras Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh akses kepada keadilan bagi mangsa gangguan seksual serta menggalakkan lebih ramai tampil membuat aduan tanpa rasa takut, malu atau dipersalahkan.

Nancy berkata gangguan seksual sering dikaitkan dengan perkara yang memalukan, menakutkan dan sensitif hingga menyebabkan ramai mangsa memilih untuk berdiam diri atau menyembunyikan pengalaman mereka.

“Gangguan seksual bukan sahaja secara lisan dan bukan lisan malah merangkumi gangguan visual, isyarat serta fizikal. Ia juga bukan gurauan atau isu peribadi semata-mata tetapi merupakan isu hak, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang perlu ditangani secara serius,” katanya.

Beliau berkata tribunal yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaras dengan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), bertujuan menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual.

Beliau berkata penubuhan tribunal berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh perlindungan terhadap mangsa serta mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bermaruah

“Semua prosiding tribunal dijalankan secara tertutup di pelbagai lokasi termasuk satu kes di Sri Aman, Sarawak bagi melindungi privasi pihak yang terlibat dan memastikan pematuhan kepada peruntukan undang-undang,” katanya, menambah 30 anggota tribunal dilantik bagi mendengar dan memutuskan kes berdasarkan prinsip imbangan kebarangkalian sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 840.

Nancy berkata selaras dengan Seksyen 20 Akta 840, sekiranya sesuatu aduan gangguan seksual berjaya dibuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian, TAGS akan mengeluarkan perintah yang boleh mengandungi permintaan maaf rasmi, penyiaran permohonan maaf, pampasan hingga RM250,000, dan/atau kewajipan menghadiri program yang bersesuaian.

Beliau berkata pejabat tribunal yang sebelum ini beroperasi di Putrajaya telah berpindah ke Aras 26, Menara Aras Jaya pada 3 Nov 2025 dan pendengaran pertama di lokasi baharu itu berlangsung pada 10 Nov tahun sama dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk bilik khas untuk saksi kanak-kanak bagi memastikan proses pendengaran berlangsung dalam persekitaran yang lebih selesa dan kondusif.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement