KUANTAN: Jenazah tujuh daripada sembilan sekeluarga yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Chukai, Terengganu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lebar Hilir 3 di sini lewat malam ini.

Pengebumian jenazah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selesai pada 11.52 malam.

Terdahulu, van yang membawa kesemua jenazah tiba di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3 pada 9.55 malam diiringi kereta peronda polis sebelum disembahyangkan oleh lebih 150 anggota keluarga dan kenalan.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu, yang dipenuhi ahli keluarga serta kenalan semua mangsa, dan mereka difahamkan sudah berada di tanah rancangan berkenaan sejak pagi untuk memberi penghormatan terakhir selepas mengetahui pengebumian dilakukan hari ini.

Turut hadir Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman.

Ahad lepas, media melaporkan 10 individu termasuk sembilan sekeluarga hilang selepas dihanyutkan kepala air semasa berkelah di jeram itu pada petang Sabtu.

Mayat Putri Alleya Maisarah Karim, 16, ditemukan pada 3 petang tadi manakala mangsa yang masih hilang ialah Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor iaitu tunang Putri Balqis Izzati.

-- BERNAMA