KAPIT: Suasana duka dirasakan ketika jasad Linsa Empih Melin, 17 tahun, ditemui penduduk kampung pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian bot karam pada Selasa (30 Mei) lalu.

Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua pada Khamis membawa kepada penemuan jasad remaja malang tersebut.

Operasi turut disertai pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung terbabit.

Mereka menemui jasad mangsa pada kira-kira jam 10 pagi semalam tidak jauh daripada Jambatan Mujong, lokasi insiden berlaku.

Mendiang merupakan salah seorang daripada 14 penumpang yang tercampak keluar daripada bot yang mereka tumpangi ketika dalam perjalanan pulang bergawai ke Rumah Geramong Nanga Spioh.

Foto JBPM Sarawak

Jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi SAR ditamatkan pada jam 11:17 pagi.

Foto JBPM Sarawak