NATIONAL
Transaksi 'beli dulu, bayar kemudian' naik ketara kepada RM7.1 bilion - Amir Hamzah

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah transaksi skim pengguna 'beli sekarang, bayar kemudian' (BNPL) meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.
Ringkasan AI
- Jumlah transaksi BNPL meningkat kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024, dengan 5.1 juta pengguna aktif.
- Walaupun penggunaan BNPL meningkat, ia hanya merangkumi 0.2% daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah, dengan jumlah tertunggak terkawal pada RM82.6 juta.
- Kerajaan memperkenalkan RUU Kredit Pengguna untuk mengawal selia industri pemberi kredit bukan bank dan melindungi pengguna, dengan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) sebagai badan pengawalselia.
"Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL berjumlah RM2.8 bilion yang hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.
"Kadar jumlah BNPL yang tertunggak juga terkawal pada RM82.6 juta iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha mengawal aktiviti agensi pemberi kredit seperti perkhidmatan BNPL.
Amir Hamzah menegaskan Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac, 2024, yang menjadi antara usaha kerajaan meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.
Beliau menjelaskan RUU Kredit Pengguna itu menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.
"Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti ditetapkan, termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit secara adil dan memberi peringatan kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.
"Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami