TIADA sesiapa yang menyangka bahawa sisa plastik mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada negara melalui aktiviti perdagangan antarabangsa di samping membantu mengurangkan implikasi kos untuk pengurusan sisa tersebut.

Tetapi perkara ini sudah lama diamalkan di United Kingdom (UK) sebagai satu usaha mengurangkan lambakannya.

Menurut artikel yang bertajuk ‘Recycling: Where is the plastic waste mountain?’ yang diterbitkan oleh portal berita BBC, destinasi utama eksport sisa plastik UK pada tempoh sebelum 2015 adalah China dan Hong Kong.

Kedua-dua negara ini didapati telah mengimport lebih daripada 500,000 ton sisa plastik UK. Nilai tersebut bersamaan dengan dua per tiga daripada jumlah eksport sisa plastik UK.

Namun begitu, tindakan China yang mula menyekat kemasukan ‘sampah asing’ telah mendatangkan isu pengurusan sisa yang besar kepada UK.

Tetapi, isu tersebut tidak berlarutan dalam tempoh yang panjang apabila peranan China telah diambil alih oleh Malaysia, Turki, Poland, Indonesia dan Belanda.

Dalam tempoh November 2017 - Oktober 2018, Malaysia telah muncul sebagai destinasi eksport utama bagi sisa plastik UK dengan jumlah eksport 105,000 tan mengatasi Turki yang mencatatkan 80,000 tan di kedudukan kedua.

Nilai eksport ke Malaysia telah meningkat sebanyak 68 peratus (42,000 tan) daripada tempoh November 2016-Oktober 2017. Peningkatan tersebut menyaksikan Malaysia mengatasi Poland yang menjadi destinasi utama eksport pada tahun tersebut.

Walaupun statistik ini tampak membimbangkan, Malaysia perlu menjadikan model negara-negara Eropah untuk mentransformasi sisa plastik sebagai sumber kekayan baharu.

Sebagai contoh, walaupun Belanda menjadi destinasi ke-lima terbesar untuk eksport sisa plastik UK, tetapi undang-undang di Belanda cuma membenarkan sisa plastik diuruskan dengan kaedah kitar semula dan penjanaan tenaga. Ini bermaksud hayat sisa tersebut tidak boleh berakhir di tapak pembuangan sampah.

Laporan yang dikeluarkan oleh Plastics Europe iaitu pertubuhan pengeluar produk plastik Eropah menyatakan pada 2016, lebih daripada 30 peratus daripada sisa plastik di Belanda dikitar semula dan selebihnya diguna untuk penjanaan tenaga.

Sekiranya model pengurusan sisa plastik sebegini dapat diadaptasi di Malaysia, ia akan menyokong pembangunan industri baharu yang membantu menguruskan lambakan sisa plastik dalam negara.

Perkara ini sekali gus akan mendukung aspirasi negara untuk memacu pertumbuhan hijau seperti yang digariskan dalam dokumen kajian Semakan Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11.



* Chakrin Utit merupakan pemegang ijazah Sarjana Universiti Putra Malaysia dan penuntut PhD skim Tenaga Akademik Muda, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.