Menjejak kaki ke dalam bilik rakaman berkamera video (VIR) di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaikan melangkah ke dalam sebuah set filem.

Bilik itu dilengkapi dua kamera video untuk merekod secara langsung segala percakapan dan perlakuan suspek bersama pegawai penyiasat SPRM.

Proses rakaman dilakukan menggunakan alat rakaman canggih dalam keadaan selesa tanpa sebarang tekanan ke atas saksi.

Dalam temubual dengan saksi, pegawai penyiasat akan duduk bertentangan merekodkan segala keterangan saksi. Skrin monitor menghadap saksi di mana ia boleh dibaca dengan jelas untuk mengelak sebarang manipulasi keterangan.

Langkah itu antara kaedah bagi menunjukkan kepada masyarakat ketelusan SPRM ketika menjalankan siasatan.

bilik rakaman berkamera video (VIR).

Menurut Idris Zaharuddin, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, ia antara penambahbaikan ketara dilakukan SPRM sejak kes kematian mendiang Teoh Beng Hock pada 2009, selain memastikan keselamatan saksi atau suspek hingga selesai perbicaraan.

Adalah menjadi harapannya bahawa dengan kemudahan VIR di semua pejabat SPRM ia sekaligus dapat menangkis tohmahan yang sering dilemparkan kepada agensi itu, berkaitan penderaan, paksaan, dorongan dan ugutan terhadap saksi atau suspek semasa proses siasatan dijalankan.

"Sebelum ini bilik rakam percakapan orang kena tuduh (OKT), suspek dan saksi SPRM dalam keadaan tidak selesa yang boleh timbul perasaan tidak puas hati di pihak dirakam."

"Jadi apabila kita sedia VIR, setakat ini statistik menunjukkan kalau dulu banyak tohmahan dan aduan yang diterima berhubung pegawai suara kasar lantang tapi kini tidak dan kita lihat tuduhan dan tohmahan berkurangan dengan drastik sekali."

Idris menarik perhatian kamera dalam bilik berkenaan juga boleh merakam sesi temubual dalam keadaan gelap menggunakan cahaya "infra-red" sekiranya timbul aduan atau tohmahan bahawa lampu bilik sengaja ditutup bagi menakut-nakutkan saksi.

"Cermin panjang juga membolehkan semua individu dalam bilik dilihat dengan ketara dalam kamera. Ia bertujuan menghilangkan semua sisi terlindung atau "blind spot" dalam bilik ini. Jadi tiada siapa yang boleh mendakwa sekiranya terdapat lebih daripada seorang pegawai penyiasat dalam bilik rakaman." katanya lagi.

Rakaman dibuat dalam 3 salinan berasingan yang akan disimpan oleh saksi, pegawai penyiasat dan satu lagi salinan sebagai dokumen yang akan dikemukakan di mahkamah.

Pendekatan itu bertujuan mencegah sebarang aktiviti suntingan atau manipulasi terhadap percakapan saksi yang dirakamkan.

Suruhanjaya itu bakal membina 10 lagi bilik VIR menjelang akhir tahun ini menjadikan sejumlah 48 kemudahan canggih itu disediakan di semua ibu pejabat SPRM seluruh negara.

Dalam pada itu turut diwujudkan, bilik gerakan operasi siasatan (BGOS) yang menekankan kepada penyiasatan secara berpasukan.

Ia juga merupakan penambahbaikkan dalam proses transformasi operasi siasatan dikendalikan SPRM.

Menurut Ketua Bahagian Forensik SPRM, Datuk I.G. Chandran pendekatan itu terbukti dapat memendekkan tempoh penyiasatan selain meningkatkan kualiti serta keberkesanan siasatan.

"Pegawai-pegawai SPRM yang mempunyai pelbagai kemahiran dan kepakaran akan digabungkan dalam satu kumpulan untuk berkongsi idea dan mengambil tindakan mengumpul keterangan ke atas penyiasatan kes secara berpasukan. Ini merupakan kaedah yang lebih sistematik dan terancang yang berupaya menyelesaikan kelewatan atau kebuntuan siasatan."

Selepas 46 tahun ditubuhkan, SPRM kini membuka dimensi baru bagi agensi itu dengan fokus utama memastikan pelaksanaan undang-undang terhadap kes rasuah ditangani sebaik mungkin.

Pengarah siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali melihat aspek itu penting dalam usaha memperbaiki persepsi masyarakat mengenai usaha memerangi rasuah di negara ini.

Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 315 tangkapan dibuat ke atas salah laku rasuah.

Hasil transformasi dan penambahbaik operasi dan penguatkuasaan undang-undang yang dilakukan SPRM, ia mula menampakkan hasil positif.

"Kita nampak statistik perlihatkan sabitan di mahkamah meningkat daripada dulu 75 peratus kepada 85 sekarang. Ini memperlihatkan penyiasatan yang lebih kukuh dari aspek penguatkuasaan dan di mahkamah juga."

Bagaimanapun jelas Mustafar biarpun setiap kes siasatan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan sebaliknya pelucutan hak harta, namun SPRM memberi jaminan kes-kes berprofil tinggi akan dikendalidengan sebaiknya.

"Masyarakat lihat apa hasil kerja kita. Setiap tahun, 1300-1400 kertas penyiasatan terbuka dijalankan tetapi masyarakat juga selalu memberi tumpuan kepada kes besar berprofil tinggi dan kes-kes berkepentingan awam."

Tegas Mustafar, suruhanjaya itu juga tidak membuat pendakwaan berpilih dalam sebarang tindakannya.

"Sama ada "ikan jerung" mahupun "ikan bilis" yang terlibat dalam salah laku rasuah, mereka tidak akan terlepas daripada muka pengadilan."

Ditubuhkan sebagai Badan Pencegah Rasuah pada 1967, kemudian diubah kepada SPRM pada 2009, suruhanjaya itu baru menyambut ulang tahunnya yang ke-46 pada 1 Oktober lalu.