TAPAH: Nahas yang meragut nyawa dua pemandu treler di Kilometer 317.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pada Rabu dipercayai berpunca daripada treler membawa muatan simen yang hilang kawalan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan polis mendapati treler terbabit yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur itu telah terbabas merempuh pembahagi tengah jalan dan melanggar treler membawa muatan tembikai serta pacuan empat roda yang bergerak ke arah utara.

"Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan. Pemandu treler simen berusia 31 tahun dan pemandu treler tembikai berusia 67 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu pacuan empat roda merupakan wanita berusia 46 tahun mengalami cedera ringan di bahagian muka telah menerima rawatan di Hospital Tapah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, semakan mendapati pemandu treler yang menyebabkan kemalangan tersebut mempunyai 13 saman trafik daripada 2010 hingga 2023.

"Salah satu rekod tersebut adalah membabitkan kemalangan jalan raya pada tahun 2018.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tapah dan punca kematian adalah 'polytrauma secondary to motor vehicle accident'," katanya.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan kejadian membabitkan tiga kenderaan itu menyebabkan dua pemandu treler maut.

Nahas sekitar jam 5 petang itu turut mengakibatkan semua laluan terhalang dan aliran trafik terhenti hampir lima kilometer. - Sinar Harian