Panel hakim Tribunal Awam Tetap (PPT) mengenai Myanmar yakin bahawa pertuduhan jenayah kejam terhadap etnik Rohingya dan Kachin perlu diputuskan oleh mahkamah berdasarkan bukti yang dikemukakan semasa sesi pembukaan pada 6 hingga 7 Mac di London.

"Berdasarkan semua keterangan yang diberikan kepada panel, adalah jelas pihak tentera masih meneruskan malahan meningkatkan penindasan meskipun berlaku peralihan kepada apa yang dikatakan kerajaan demokratik dan awam yang sebilangan besar orang termasuk etnik Kachin dan Rohingya, meletakkan harapan yang tinggi," kata panel tiga anggota itu.

Kenyataan mereka pada sesi penggulungan dimuat naik dalam laman web PPT.

Ketiga-tiga hakim itu ialah Daniel Feierstein, bekas presiden International Association of Genocide Scholars; Denis Halliday, bekas penolong setiausaha Pertubuhan Bangsa Bersatu dan pemenang Hadiah Keamanan Antarabangsa Gandhi pada 2003; dan Helen Jarvis, bekas pegawai hal ehwal awam di Tribunal Khmer Rouge.

Mereka berkata sesi pendengaran diadakan kerana kurangnya respon kepada pencabulan kritikal terhadap hak etnik di Myanmar, serta permintaan yang dikemukakan oleh 19 pertubuhan Rohingya pada 24 Nov, 2016.

"Kerajaan Myanmar telah dimaklumkan mengenai Sesi Pembukaan ini dan dijemput untuk menyertai tetapi malangnya ia tidak hadir. Bagaimanapun, kenyataan ini akan diserahkan kepada mereka bersama Pertuduhan Awal dan kami sekali lagi menegaskan bahawa mereka kemungkinan perlu membentangkan kes mereka pada sesi penuh yang akan datang," kata para hakim.

Sesi penuh akan diadakan dalam masa enam bulan akan datang dengan tujuan untuk menghasilkan penghakiman yang sewajarnya.

Selama dua hari, panel hakim telah mendengar dakwaan yang dikemukakan oleh kedua-dua kumpulan dan juga mendengar keterangan lisan daripada saksi-saksi dan pakar selain tayangan video dan dokumentasi bertulis berhubung dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan terhadap masyarakat Kachin dan Rohingya.

"Tribunal itu diberitahu secara terperinci mengenai pencabulan sistematik hak asasi manusia seperti pembunuhan termasuk penyembelihan bayi dan kanak-kanak, rogol, buruh paksa, kemusnahan rumah dan penafian hak asas untuk makanan, pencarian nafkah, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kewarganegaraan," kata mereka.

Dalam kenyataan, panel hakim melahirkan penghargaan mendalam kepada kebanyakan mangsa yang berani tampil memberi keterangan dan kepada peguam, penyelidik dan aktivis yang mengumpul dokumen untuk dikemukakan sebagai bukti kepada PPT.

Mereka juga menggesa PBB, ASEAN dan badan-badan antarabangsa yang lain supaya bertindak susulan situasi itu dan menggesa media supaya terus memberi liputan dan melaporkan krisis kemanusiaan ini, serta mendedahkan kebenaran tentang apa yang berlaku.

"Kami juga menaruh kepercayaan kepada komitmen berterusan pergerakan sosial di seluruh dunia untuk berdiri teguh atas semangat perpaduan dan memberi bantuan serta bertindak secara berkesan," kata mereka.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), yang tampil pada sesi pendengaran PPT sebagai saksi pakar, berpuas hati mereka dapat berkongsi testimoni dengan 35 etnik Rohingya yang ditemuramah di Malaysia.

Ketua Eksekutifnya Azril Mohd Amin berkata CENTHRA telah berjaya mendokumentasi testimoni etnik Rohingya secara terperinci dan, sistematik, dan PPT mengambil perhatian khusus terutama pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik tersebut.

PPT menghargai usaha dan sumbangan pasukan peguam CENTHRA. Ia merupakan pengalaman paling bermanfaat untuk bekerjasama dengan wakil dan penyokong PPT yang komited dan kami menaruh harapan kepada sesi seterusnya," kata beliau kepada Bernama dari London melalui aplikasi WhatsApp Messenger.

PPT yang ditubuhkan pada 1979, adalah tribunal pendapat umum diiktiraf antarabangsa yang berfungsi secara bebas dan setakat ini telah mengadakan 43 sesi pendengaran.

-- BERNAMA