Kebanyakan tuduhan terhadap Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) termasuk dakwaan terbabit dalam penggunaan buruh paksa adalah tidak berasas, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh hasil siasatan Jabatan Tenaga Kerja susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menyekat masuk produk keluaran syarikat tersebut.

Tegasnya, agensi luar negara tidak sepatutnya mengambil tindakan berdasarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya perlu berhubung dengan kementerian berkenaan untuk penjelasan terlebih dahulu.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja untuk menyiasat dan didapati kebanyakan tuduhan itu adalah tidak berasas. Ada sedikit sebanyak kekurangan tapi itu semua dapat diatasi.

“Tetapi bukan seperti mana dituduh agensi luar negara. Saya akan melawat Top Glove bersama pegawai-pegawai kanan daripada kementerian.

“Kami juga akan menjemput wakil dari AS supaya sama-sama melihat dan membuktikan tuduhan ini tidak berasas,” katanya dalam sidang media selepas bertemu pemain industri di sini pada Selasa.

Top Glove sebelum ini berkata, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBPAS) telah mengeluarkan arahan sekatan terhadap produk sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu akan meminta penjelasan daripada CBPAS dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

Dalam pada itu, Saravanan berkata hampir 25,000 peluang pekerjaan untuk warga tempatan bakal disediakan dalam industri pembuatan sarung tangan.

“Kita telah berbincang dengan hampir 40 syarikat pengeluar sarung tangan. Keperluan semasa mereka adalah lebih kurang 20,000 ke 25,000 pekerja.

“Saya telah arahkan mereka supaya beri keutamaan kepada warga tempatan dan mereka bersetuju.

“Hari ini 40 syarikat pengeluar ini telah setuju untuk ambil pekerja tempatan dan mereka perlu buat iklan dalam portal kerja yang ada di bawah Kementerian Sumber Manusia utk menunjukkan keikhlasan,” ujarnya.