Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tujuh suspek disyaki terlibat dalam kumpulan penganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lima daripada mereka merupakan rakyat tempatan manakala dua lagi suspek terdiri daripada warga Filipina.

PDRM telah melancarkan operasi di Kelantan, Selangor, Sabah dan Kedah antara 19 hingga 28 November lalu.

“Tangkapan pertama pada 19 November di Kelantan melibatkan seorang penjual madu berusia 28 tahun yang menerima arahan daripada ahli kumpulan Daish Syria, Akel Zainal untuk melancarkan serangan di Malaysia.

"Sehari kemudian, tangkapan kedua melibatkan lelaki tempatan berusia 52 tahun bekerja sebagai jurutera syarikat petroleum, terlibat menyalurkan dana RM14,000 kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi (rakyat Malaysia menyertai kumpulan Daish, Syria) pada 2016 dan 2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan.

"Pada 21 November pula, seorang warga Filipina ditahan kerana (dia) adalah anggota kumpulan Abu Sayyaf yang terlibat dengan tiga siri penculikan di Selatan Filipina dan Sabah. Dia yang bekerja sebagai pekebun juga disenaraikan individu dikehendaki Esscom ((Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) bagi membantu kes jenayah Esszone (Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah)," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, suspek keempat ditahan melibatkan seorang kakitangan sekolah memandu di Kelantan yang juga ditahan pada 21 November lalu kerana menerima arahan melancarkan serangan ke atas tempat ibadah bukan Islam dalam negara oleh kumpulan Daesh.

"Seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pemandu van kilang di Kedah ditahan pada 22 November selepas disyaki menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Sel Jamaah Ansharut Daulah (Jad), kumpulan pro-Daish di Indonesia yang terlibat dengan siri serangan di balai polis Jawa Tengah April tahun lalu.

"Tangkapan terakhir di Tenom Sabah melibatkan pasangan suami isteri berusia 48 dan 40 tahun. Suami seorang warga Filipina dan isteri warga tempatan terlibat dalam menyembunyikan maklumat kehadiran anggota kumpulan asing di Sabah," kata beliau lagi.

Katanya, suspek ditangkap di bawah kesalahan berkaitan dengan keganasan di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan dan disiasat di bawah Akta 747 Keselamatan Langkah-Langkah Khas.