Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh berhasrat mengemukakan Rang Undang-undang Bukan Kerajaan di Parlimen bagi memohon meminda Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata pindaan tersebut antara lain mengelak kekeliruan terhadap isu penukaran agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam oleh sebelah pihak.

Beliau berkata perkataan 'Parent' (ibu bapa) dalam klausa Perkara 12(4) perlu diubah untuk memastikan dengan jelas pertukaran agama mesti dengan persetujuan kedua-dua ibu dan bapa, dengan syarat kedua-dua masih hidup.

"Jika kerajaan tidak mahu menyertai (untuk meminda perlembagaan), saya bercadang meneruskan rang undang-undang bukan kerajaan berdasarkan keadaan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga anggota Dewan Rakyat untuk melakukan pindaan tersebut.

Karpal berkata demikian ketika merujuk kepada cadangan pindaan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama minggu lepas.

Rang Undang-Undang Bukan Kerajaan merupakan rang undang-undang yang dikemukakan oleh seseorang ahli Dewan Perundangan yang bukan anggota kerajaan.

Karpal berkata pindaan Perkara 12(4) dalam Perlembagaan akan menghentikan sama sekali sebarang kekeliruan terhadap cadangan pindaan Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013.

Cadangan pindaan Seksyen 107(b) memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam.