Polis mengesahkan beberapa tulang yang ditemui di celah batu di hutan Pos Pulat di sini, Sabtu lepas, adalah dari seorang lelaki namun identitinya belum dapat dipastikan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Rajab Ahad Ismail berkata pengesahan itu hasil daripada siasatan dan pemeriksaan forensik di tempat penemuan tulang tersebut.

"Pasukan mencari dan menyelamat menemui tulang itu dalam rekahan batu laluan air dalam hutan Pos Pulat, iaitu kawasan hutan di mana dua lelaki yang mencari kayu kemuning dilaporkan hilang pada 13 Jun lepas," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Rajab Ahad berkata pasukan forensik turut memeriksa barangan dipercayai milik mangsa yang ditemui di lokasi sama, iaitu sehelai seluar panjang, sehelai baju tangan panjang, sepasang kasut getah, sepasang stokin, lampu suluh dan sebilah parang.

Katanya lokasi penemuan rangka tulang itu dipenuhi dengan pokok serta batu besar dan licin.

Beliau berkata tulang itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Baharu untuk mengenal pasti identitinya.

Zarani Abdullah Zawawi, 37, dan seorang penduduk Orang Asli, Sudin Salleh, 30-an, dari Kampung Kuala Lah di sini, dilaporkan hilang sejak mereka memasuki hutan itu pada 13 Jun lepas.

Kebiasaannya mereka mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu untuk berada dalam hutan itu untuk mencari kayu kemuning sebagai sumber pendapatan.

Kini sudah hampir sebulan mereka belum pulang.

Operasi mencari melibatkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.