MALAYSIA
Tular: Jakim, JAIS siasat dakwaan program motivasi rumah tangga songsang

Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu diambil agar maklumat diperoleh dengan jelas sebelum sebarang tindakan wajar diambil, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong.
Ringkasan AI
- Jakim akan menjalankan siasatan terperinci bersama JAIS berhubung dakwaan program motivasi rumah tangga yang didakwa terpesong, termasuk unsur ritual dan perlakuan tidak senonoh, bagi memastikan kesahihan maklumat sebelum tindakan diambil.
- Ketua Pengarah Jakim menegaskan komitmen kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri dalam menangani isu yang menjejaskan institusi kekeluargaan dan nilai Islam, serta menangkis pengaruh budaya songsang dalam masyarakat.
- Program yang tular di media sosial didakwa melibatkan tarian bogel, air tidak diketahui kandungan, dan upacara menyerupai ritual keagamaan lain, mencetuskan kemarahan masyarakat dan mendorong siasatan pihak berkuasa.
Menurut Sirajuddin, kerajaan melalui Jakim secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri tegas dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan umat Islam, khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.
“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” ujarnya.
Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook berkenaan, turut didakwa bahawa dua wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor.
Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh yang singkat.
Selain itu, peserta turut disuruh melakukan upacara mandi suci dan kelahiran semula yang menyerupai ritual keagamaan lain.
Pendedahan tersebut mengundang kemarahan dan kritikan masyarakat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami